Monday, November 20, 2006

Ruhollah Khomeini: Pemelihara ingatan

Budaya agama kita tentunya tidak akan membawa kita mendekatinya. Dilahirkan pada 24 September 1902, dalam sebuah keluarga yang ketat dengan tradisi agama, dan di sebuah di daerah kecil, Khomein, iaitu ditengah-tengah Iran. Ketika berusia lima bulan, ayahnya Sayyid Mustaffa Musawi gugur syahid menentang kaum kapitalis yang rakus mengaut tanah rakyat miskin. Justeru, pengalaman sewaktu kecilnya sudah awal-awal lagi sangat akrab dengan makna kesyahidan dan pembelaan mustadh'afin.

Sejak usia dini, beliau menekuni pengajian agama termasuk matematik, astronomi dan falsafah sehingga bekal ini menjadikannya kelak seorang faqih dan mujtahid yang mashyur. Di tangan Mirza Mohammad Ali Shah Abadi, beliau terpana dengan mikraj irfan serta asyik dengan isra’ hamasah. Ketika berusia 27 tahun, beliau telah membuka kelas pengajiannya yang meliputi falsafah Islam, tasawuf nazari, feqah, usul dan akhlak.

Ketegasannya menyanggah kezaliman sosial, menentang korupsi ideologi dan memulih kebejatan moral sudah terpancar semenjak awal belianya lagi. Sementara, pada tahun 1941, beliau menerbitkan buku pertamanya Kasyful Asrar yang menyenaraikan kezaliman 20 tahun pemerintah waktu itu, Reza Shah. Kitab tersebut telah menghimpun kritikan kaum kaum ulama yang belot dan ahli sufi yang pinggirkan perubahan sosial, selain mengungkapkan kriteria dan pembinaan pemerintahan Islam.

Dalam rangkaian surat serta ceramahnya, beliau menyeru para ulama agar memperkasa kesedaran rakyat serta segera bangkit melawan pemerintahan Shah. Selain itu, beliau secara konsisten membongkar tentang hubungan intim pemerintah dengan Israel, lalu mengirim amaran keras kepada pemerintah waktu itu. Sebagai jawapan, Shah menyerbu pusat pendidikan Faiziyah dan membunuh para pendukungnya. Sudahnya, yakni bermula dari peristiwa khordad tersebut, amarah rakyat terhadap kerajaan semakin membara, lebih-lebih lagi beliau telah ditangkap oleh pemerintah.

Menghadapi situasi yang penuh gawat itu, pemerintah akhirnya memutuskan untuk menghalau keluar dari tanahairnya. Bertitik-tolak dari sini, maka bermulalah episod pelariannya dari satu negara ke satu negara. Selama 11 bulan di Turki, 13 tahun di Iraq, dan beberapa bulan di Neauphle-le-Chateau, Paris, seluruh liku-liku perlariannya diisi dengan menulis kitab serta menjalinkan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam sedunia, termasuklah di Iraq, Lebanon dan Palestin. Seruan akbarnya ketika itu ialah bangkit melawan para mustakbirin.

Dalam waktu yang sama, kebangkitan rakyat Iran sendiri tidak pernah sunyi. Kaset-kaset ucapan beliau terus tersebar ke dhamir rakyat. Manakala, episod perjuangan rakyat telah merebak dan makin membengkak setiap hari. Demikian, bila setiap rakyat yang dibunuh oleh regim, pasti diganti oleh puluhan pemuda yang bersedia untuk menjadi jantung sejarah kemanusiaan. Darah syuhada mula membanjiri segenap ingatan pemerintah dan mengusarkan Shah. Akibatnya, keadaan ssudah menjadi tidak terkawal, yang akhirnya ini memaksa Shah melarikan diri pada Januari 1979.

Bertolak dari Perancis, sebuah penerbangan tiba di Mehrabad Airport Teheran pada Februari 1979, yang bersama-sama dengan penerbangan tersebut bukan sahaja membawa seorang ulama yang sudah tua, bahkan cita-cita sebuah negara sempurna. Beliau disambut oleh jutaan rakyat yang menyayanginya. Di dataran luas, Beheshti Zahra, iaitu sebuah kuburan para syuhada, beliau mengungkapkan pidato ulungnya yang mengecam campurtangan Amerika, Israel dan sekutu Barat ekoran perkembangan terbaru negara Sassanid tersebut. Setelah 10 hari, revolusi Islam ini mengorak sebuah sistem.

Dan, selama 10 tahun terkemudian, beliau mengisi negara baru ini dengan segala doktrin-doktrin Islam. Buat julung kalinya tafsiran politik Islam telah menemukan wajahnya dalam bentuk praktikal. Kejayaan dramatik gerakan beliau telah menjadi inspirasi buat gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia. Dunia, menerusi majalah Time, mengiktiraf beliau sebagai Man of the year. Di samping itu, bersama rakyatnya, beliau memimpin utuh mempertahankan batas negara ekoran pencerobohan Iraq.

Manakala, dalam waktu yang sama, beliau tetap tegas mempertahankan sumber minyak negaranya daripada direbut oleh Barat, serta teguh hati menghadapi sekatan ekonomi dunia. Malah, dengan pedih juga beliau beliau pasrah ketika lebih 400 rakyatnya dibunuh oleh tentera Saudi sewaktu mengerjakan ibadah Haji, juga ketika menerima berita 290 rakyatnya terkorban dalam pesawat penumpang ditembak oleh tentera Amerika.

Namun, dalam segala kepayahan ini, beliau tetap tekun meneruskan ajaran dari leluhur sucinya. Beliau tetap tabah untuk terus memerintah dengan agama. Dan, pada 1 Januari 1989, beliau mengirim pesan besar kepada Mikhail Gorbachev. Suatu pesan yang bakal menghumbankan idea komunisme menjadi muzium sejarah. Malah, beliau tidak segan-segan mengajak pemimpin Soviet Union tersebut untuk menerima Islam sambil menolak materialisme Barat.

Demikian juga, tanpa mempedulikan ancaman Barat, serta dengan penuh keyakinan, beliau tekad dan nekad memfatwakan hukuman bunuh terhadap Salman Rushdie atas penerbitan buku Satanic Versesnya -- suatu fatwa yang sangat-sangat revolusioner, dan sekaligus fatwa yang membangkitkan kembali semangat ummah melawan penindasan Barat, setelah sekian lama kekosongan ikon sejagat.

Namun, hari demi hari, keadaan fizikalnya semakin melelahkannya. Kelelahannya ini akhirnya memburuk. Sudahnya, setelah 10 hari diam di hospital Teheran, akhirnya beliau aman menemui zat yang dirindu-rinduinya pada malam hari, 3 Jun 1989. Serentak dengan itu, langit ummah mendung bagaikan kehilangan sebutir bintang thurayya. Hadirnya dirasai, dan perginya ditangisi.

Maka, salam atas anda, yang telah mengisi hidup ummah dengan makna-makna baru, lalu meninggalkan pula ummah dengan segenap pesan-pesan kemanusiaan. Maka, mudah-mudahan nama anda, Ruhollah, akan terus kekal dalam catatan dan ingatan sejarah masa depan ummah; ummah yang masih ada percaya kepada tradisi dan masih menyimpan keyakinan kepada iman. Ya, salam atas anda, pemelihara ingatan agama, Ruhollah Khomeini al-Musawi!

Murtadha Muthahhari: Ulama' yang intelektual

As-Syahid Murtadha Muthahhari adalah antara kalangan sedikit ulama’ yang berjaya memadukan ciri-ciri keulamaan dan keintelektualan dalam satu keperibadian, di mana beliau bukan sekadar mendalami ilmu-ilmu Islam tradisional, malah turut fasih berbicara tentang mazhab-mazhab pemikiran Barat, lebih-lebih lagi tentang Bertrand Russell.

Memang, ini satu kelebihan yang mengagumkan! Tidak ramai tokoh yang boleh berjuang, tetapi dalam masa yang sama mampu menekuni pelbagai displin ilmu, dan Muthahhari adalah salah seorang darinya. Dan, hampir sebahagian besar waktu hidupnya dihabiskan demi merealisasikan sebuah negara yang bercitrakan Islam.

Muthahhari, dilahirkan pada tanggal 2 Februari 1919 dari kelompok keluarga alim di daerah Khurassan. Ayahnya, Hujjatul Islam Muhammad Husayn Muthahhari adalah seorang ulama’ yang dihormati lagi disegani oleh masyarakat setempat. Sejak menjadi siswa di Qum, Muthahhari sudah menunjukkan minatnya pada falsafah dan ilmu pengetahuan moden. Di Qum, Muthahhari menuntut di bawah bimbingan Ayatullah Boroujerdi dan Ayatullah Ruhollah Khomeini.

Dalam falsafah, beliau amat terpengaruh dengan pemikiran Allamah Hussayn Thabathaba’i. Muthahhari begitu tekun dan pantas menguasai ilmu-ilmu falsafah yang diajar di hauzah-hauzah. Buku-Buku yang ditulis oleh William Durant, Sigmund Freud, Bertrand Russell, Albert Einstein, Erich Fromm dan para pemikir Barat yang lainnya telah ditelaahnya dengan serius sekali.

Keseriusan Muthahhari dalam menelaah pemikiran Barat bukan kerananya malu-malu untuk menonjolkan pemikiran Islam, sebaliknya, Muthahhari cuba untuk melakukan studi perbandingan antara pemikiran Islam dan Barat. Lihat, banyak terminologi Islam telah dikupas olehnya dalam buku-bukunya, sehingga menyerlahkan lagi keupayaan Islam bagi menawarkan pemikiran alternatif.

Muthahhari, pada usia relatif yang masih muda, sudah mampu menurunkan ilmu logik, falsafah dan fiqh di Fakulti Teologi, Universiti Teheran. Dan, dalam waktu yang sama, beliau turut menjawat sebagai Ketua Jurusan Falsafah. Di samping itu, beliau tidak kekok untuk menyampaikan kuliah dalam bidang yang berbeza seperti kuliah al-Ushul, kuliah Ilmu Kalam dan kuliah al-Irfan.

Dengan ufuk ilmu ini, Muthahhari langsung tidak berminat untuk memilih keselesaan hidup, meskipun beliau ada pilihan untuk itu. Baginya, badai (perjuangan) lebih bermakna daripada damai (keselesaan hidup). Justeru, beliau menterjemahkan gagasan-gagasannya tentang erti kehidupan melalui gerak kerja aktivis dan menulis buku-buku.

Natijahnya, keaktifan beliau telah berjaya membentuk satu kombinasi ampuh bersama-sama dengan Ruhollah Khomeini dalam kerangka menentang regim Shah Pahlevi yang zalim dan menindas. Ekoran dari itu, Muthahhari telah ditahan pada 1963 akibat implikasi langsung dari peristiwa Khordad.

Manakala, ketika Imam Khomeini diasingkan ke Turki, Muthahhari telah di amanahkan untuk memangku kepimpinan gerakan rakyat Iran serta memobilisasikan para ulama’ dalam melanjutkan semangat perjuangan Islam yang dirintis oleh Ruhollah Khomeini.

Langkah-langkah politiknya jelas sekali sangat tersusun dan mengugat. Muthahhari (bersama-sama Ali Shari'ati dan Husayn Baheshti) turut mendirikan Husainiyyah-e-Irsyad yang menjadi pangkalan kebangkitan intelektual Islam sebelum revolusi meletus. Di samping itu, Muthahhari yang juga Imam Masjid al-Jawad, dan secara konsisten menggalang dukungan rakyat Iran bagi menyuarakan simpati pada perjuangan Palestin.

Pasca kemenangan Revolusi Iran 1979, Muthahhari telah dilantik menjadi anggota Dewan Revolusi. Karekteristik yang menonjol pada diri Muthahhari telah menjadinya sebagai seorang ulama yang dinamik, bersandarkan penguasaan ilmu-ilmu Islam, moden serta menatijahkannya dalam dunia aktivisme.

Akhirnya pada 2 Mei 1979, Muthahhari dipanggil pulang dengan percikan darah sebagai seorang syuhada, angkara tangan-tangan ghaib kelompok ‘Munafiqqin Khalq’. Hari ini, tanpa Muthahhari sekalipun, ilmu-ilmunya masih tetap memancar mengukuhkan lagi khazanah keilmuan Islam. Muthahhari, terima kasih atas bakti anda!

Ali Shari’ati: Ikon revolusi

Kalangan personaliti revolusi Islam Iran, Ali Shari'ati merupakan satu nama yang mewakili kelompok intelektual sebaris dengan Mehdi Bazargan. Di satu kelompok lagi, di kalangan agamawan, terdapat nama-nama lain seperti Murtadha Muthahhari, Husayn Beheshti dan Mahmoud Taleqani. Namun, yang paling nyata, Shari'ati kerap disebut-sebut sebagai antara arkitek politik yang paling signifikan dalam memprakasai revolusi Islam Iran berbanding dengan nama-nama yang lain, selain daripada Ruhollah Khomeini.

Ali Shari'ati, merupakan anak pertama Muhammad Taqi Shariati dan Zahraa yang lahir pada 24 November 1933 di sebuah desa permai berdekatan Sabzavar di tepi gurun Kavir. Peribadi yang pertama kali mendidiknya tentunya ayahnya sendiri, salah seorang ulama' yang dihormati di Mashhad. Di waktu kanak-kanak, ketika teman-temannya asyik bermain, aktiviti harian Ali Shari'ati pula hanyalah bersama buku-buku sastera seperti Les Miserable karya Victor Hugo. Minat Shari’ati ini bertambah bila dibantu dengan khutub khanah yang dipunyai oleh ayahnya.

Pada 1955, Ali Shari’ati telah diterima masuk ke Fakulti Sastera Universiti Mashhad. Di sinilah bermula penyerlahannya dalam perjuangan politik, sosial dan intelektualnya. Tahun-tahun yang menyusul dalam kehidupan Shari'ati telah ditandai dengan tumbangnya Perdana Menteri Musaddiq angkara tekanan politik regim Shah Iran. Ali Shari’ati sendiri terpaksa mendekam selama beberapa bulan dalam penjara kesan daripada penetangannya terhadap tindakan regim Shah Iran ini.

Pada tahun 1959, Shari'ati melanjutkan pendidikannya ke Sorbonne dalam bidang sosiologi. Walaupun jauh daripada tanahairnya, Shari'ati tetap prihatin terhadap gerakan politik di Iran. Secara aktif, Shari'ati telah bergabung dalam organisasi yang akrab dengan misi untuk melawan regim Shah Iran. Pada tahun 1964, sepulangnya ke Iran, Shari'ati telah ditahan. Enam bulan berlalu, ekoran tekanan antarabangsa ke atas regim Shah Iran, Shari'ati akhirnya dibebaskan dan kembali meneruskan kegiatannya sebagai ahli akademik sosiologi di Universiti Mashhad.

Keadaan ini tidak lama. Lantaran tekanan pemerintah, melalui universiti, Shari'ati terpaksa meninggalkan kampus tersebut. Maka, bermulalah episod paling signifikan dalam kehidupannya. Shariati bersama-sama dengan beberapa teman telah mendirikan Husainiyyah-e Irsyad, sebuah institut Islam di Kota Teheran. Institut ini berperanan menganjurkan aktiviti intelektual, yang sebahagian besar disertai oleh kumpulan mahasiswa.

Namun, apabila regim Shah Iran melihat aktiviti Shari'ati ini boleh mengancam pemerintah, maka Husainiyyah-e Irsyad telah ditutup. Manakala, Shari'ati di tahan dan kembali meringkuk dalam penjara sebagai tahanan politik. Setelah 18 bulan, Shari'ati dibebaskan. Pada 16 Mei 1977, Shari'ati memilih untuk meninggalkan Iran, lalu menuju ke London,sebelum disusuli pula oleh isteri dan anaknya, Ehsan.

Malangnya, tidak berapa lama kemudian, iaitu pada 19 Jun 1977, Shari'ati ditemui terbujur di kediamannya. Sebab kematiannya menjadi cukup misteri, sehingga banyak pihak yang mengaitkannya dengan kegiatan SAVAK, badan polis rahsia Iran ketika itu. Seperti wasiatnya, Shari'ati dimakamkan di Damsyik, besebelahan dengan makam Zaynab Rahimahullah, cucu Rasulullah saw.

Demikianlah perjalanan seorang intelektual yang begitu mengesankan. Terbukti, Shari'ati telah gugur kerana memperjuangkan maslahat kaum mustadh’afin. Malah, kata-katanya bahawa syahid itu jantung kemanusiaan, akhirnya benar-benar tercermin melalui bentuk kematiannya, seperti juga bentuk kematian tokoh yang dicanang-canangkannya, Ali bin Abi Talib dan Abu Dzar Al-Ghifari.