Saturday, March 31, 2007

Jawad Amuli: Thaba’thaba’i Baru

Jawad anak kecil dari kota Amul, yang akhirnya menjadi terkenal ketika negeri Parsi ini secara revolusioner melaksanakan pemerintahan Wilayat al-Faqeh. Ia lahir pada tahun 1933 dari sebuah keluarga yang taat beragama. Ini tidaklah aneh, kerana ayahnya seorang ulama’ yang sangat disegani di kota tersebut.

Jawad Amuli, sebuah namanya tiba-tiba mendapat perhatian tatkala diutuskan ke Soviet Union. Itu zaman perang dingin. Namun, Iran bukanlah negara blok, sebaliknya kental dengan anjuran La Syarqiyyah wala Gharbiyyah. Bertemu Mikhail Gorbachev, Jawad menyampaikan surat Ava-yi Tawhid. Surat tersebut kemudiannya mendapat perhatian dunia, yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Ia membawa makna The Voice of Monotheism.

Asas pendidikan Jawad adalah dalam ushul fikih dan hadith, yang dituntut di Hauzah Ilmiyyah di Amul, kotanya sendiri. Walau bagaimanapun, ketika berusia 18 tahun, ia berhijrah ke Madarasah Marwi al-Ilmiyyah, Tehran untuk menuntut bersama Syeikh Muhammad Taqi al-Amuli. Di sana, ia cuba mendalami beberapa pelajaran tingkat tinggi seperti tentang maq’ul dan manqul.

Bahkan, tidak cukup dengan itu, Jawad turut menuntut dengan beberapa lagi guru yang terkemuka di sana. Syeikh Mirza Mahdi Ilahi, Ayatollah Ilahi Qumshe’i dan Syeikh Muhammad Taqi al-Sya’rani adalah antara beberapa guru yang mempengaruhinya dalam melihat kepentingan korpus ilmu yang lebih luas.

Namun, kerana masih lagi tidak merasa puas di Tehran, Jawad akhirnya nekad untuk melanjutkan pendidikannya di Qum, utara Tehran. Di sana, ia berpeluang menuntut dengan tokoh agama Qum yang lebih terkenal waktu tersebut, Sayyed Burujurdi, di samping turut mengikuti kuliah Sayyid Muhaqqid Damad.

Semasa di Qum inilah, Jawad mula mendekati sang gurunya, Ruhollah Khomeini, yang suatu saat kemudian mengirimkannya ke Soviet Union sebagai utusan khas membawa Ava-yi Tawhid.
Sudah menjadi kebiasaan, penuntut dalam tradisi di Qum akan mempelajari ragam bidang ilmu. Begitu juga Jawad. Meski ushul fikih pengkhususannya, tetapi ia tidak menghalangnya untuk menguasai bidang yang berbeza. Al-Asfar Al-Arbaah, kitab Mulla Sadra yang terkenal itu.menjadi asas pengajiannya dalam ’irfan. Begitu juga kitab Al-Syifa, buah fikiran dari Ibn Sina itu yang menjadi tekunannya dalam teologi dan mantik.

Semua pendidikannya ini tidaklah menjadi sukar. Kehadiran Allamah Sayyid Muhammad Husayn Thaba’thaba’i yang pulang dari Najaf al-Asyraf, telah mempopularkan pengajian falsafah di Qum. Meskipun Sayyid Burujurdi tidak senang—pada peringkat awalnya—namun pengaruh dan pengikut pengajian Thaba’thaba’i sering bertambah.

Bukan hanya Jawad, malah pengarang tafsir Al-Mizan itu.turut memikat nama-nama besar lain; Khomeini, Muthahhari, Beheshti, dll untuk menjadi muridnya. Jawad memang terhutang ilmu dengan Thaba’thaba’i. Jika tidak, masakan ia dapat menghasilkan sejumlah karya yang baik seperti, Namad wa Ustureh, Asrar Ibadat, Irfan al-Hajj, Tahrir Tamhid al-Qawa’d, Sireh-e Payambaran dar Qur’an, dll.

Kini, Jawad, atau lebih dikenali sebagai Ayatollah Jawad Amuli pula menjadi ’Thaba’thaba’i baru’. Anak dari kota Amul inilah yang kini meneruskan tradisi sempurna dari garisan Ahlul Bayt. Ternyata, Qum tidak kehilangan tokoh. Benarlah, kata Ahmad Shalabi dalam History of Muslim Education, bahawa tradisi ilmu dalam Ahlul Bayt sentiasa mandiri dengan zaman. Tidak seperti Andalusia.

Memang, yang pergi akan silih berganti.

Friday, March 2, 2007

Muhammad Baqir al-Hakim: Dari leluhur terhormat

Ayatollah Sayed Muhammad Baqir Al-Hakim (1939-2003), merupakan pemimpin Supreme Council of the Islamic Resistance in Iraq (SCIRI), yang diasingkan di Republik Islam Iran selama 23 tahun, sewaktu pemerintahan Saddam Hussein di Iraq. Namun, tumbangnya regim Baath pada tahun 2003 telah memberi ruang kepadanya untuk kembali semula ke tanahairnya.

Sebagai putera dari Ayatollah al-Udzma Sayyed Muhsin al-Hakim —seorang pemimpin kerohanian masyarakat Iraq yang sangat dihormati serta menjadi rujukan besar— al-Hakim pernah dua kali ditahan ekoran pengaruh dan aktivitinya. Pertama pada tahun 1972, dan seterusnya kedua pada tahun 1977.

Sebagai pemimpin yang disanjungi oleh masyarakat Iraq, al-Hakim pernah beberapa kali cuba disetarafkan dengan Ayatollah Rohullah Khomeini, pengasas Republik Islam Iran. Namun al-Hakim tetap menolak kedudukan ini. Sikap serta keengganan al-Hakim ini barangkali mengingatkannya terhadap karismatik tinggi pemimpin sebelumnya, Ayatollah As-Syahid Muhammad Baqir al-Sadr, yang juga teman akrab Khomeini ketika diasingkan ke Najaf al-Asyraf sewaktu pemerintahan Shah Iran.

(Muhammad Baqir al-Sadr dan adiknya, Amina Sadr Bint al Huda, telah dihukum mati pada tahun 1980 oleh regim Saddam setelah diseksa dengan sungguh kejam. Sebelum syahid, al-Sadr sempat meninggal beberapa karya besar. Ini termasuklah, Falsafatuna, Iqtisaduna, Al-Usus al-Mantaqiyya lil Istiqra', al-Bank al-la-Rubawi fi al-Islam, dan lain-lain lagi).

Setelah kesyahidan al-Sadr, al-Hakim melakar perhitungan baru dengan memilih untuk mengasingkan diri ke Republik Islam Iran. Ketika itu juga, pertempuran antara Iraq-Iran, suatu perperangan yang dipaksakan seperti istilah Khomeini, baru tercetusnya. Tindakan Al-Hakim ini didorong lagi dengan nekad yang dizahirkan oleh Saddam Hussein untuk menghapuskan setiap keluarga dari leluhur al-Hakim.

Dicatatkan, seramai 18 orang dari keluarga al-Hakim sudah terkorban di tangan regim Baath. Malah, pada tahun 1988, Saddam Hussein dipercayai telah mengarahkan pembunuhan adik beliau, Sayyed Mahdi al-Hakim yang ketika itu sedang berada di Sudan. Bagi Saddam Hussein, keluarga a-Hakim, seperti juga keluarga al-Sadr, dianggapnya sebagai musuh dalaman yang bersepakat dengan Republik Islam Iran.

Setelah runtuhnya regim Baath, pemimpin SCIRI yang tawaduk dan wara’ ini kembali ke Iraq dengan hasrat untuk membentuk sebuah negara Iraq baru yang merdeka serta mewakili semua etnik Iraq. Kepulangan al-Hakim akhirnya telah disambut oleh ribuan rakyat yang begitu merinduinya. Bagi masyarakat Iraq, kembalinya al-Hakim adalah anugerah dari Tuhan untuk memimpin mereka.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan di kalangan generasi baru rakyat Iraq agak kurang mengenali peribadi mulia al-Hakim ini. Suasana ini dibentuk bukan sahaja kerana lamanya al-Hakim hidup terbuang, tetapi lebih-lebih lagi kerana dasar regim Baath yang keras melarang sebarang maklumat berkenaan dengan keluarga al-Hakim.

Sebab itu, al-Hakim sendiri menyimpulkan bahawa Saddam Hussein sebenarnya adalah korban dari segala tindakan serta sikap diskiminatif dan represifnya sendiri. Selama di Republik Islam Iran, al-Hakim tekad menggalang seluruh kekuatan untuk melawan regim Saddam, termasuklah dengan membentuk tentera Badr yang begitu terkenal dengan semangat kentalnya.

Kendatipun begitu, belum sempat al-Hakim memimpin sebuah negara Iraq yang baru, seruan Ilahi telah terlebih dahulu menyambutnya semasa satu serangan bom pada Juma’at, 29 Ogos 2003 sesudahnya menyampaikan khutbah di Masjid Imam Ali, di Najaf al-Asyraf. Dalam beberapa teori, serangan tersebut dipercayai telah didalangi oleh kumpulan Abu Musab al-Zarqawi, yang berfahaman salafi.

Malah, dalam serangan tersebut juga, ia turut mengorbankan 125 orang di samping mencederakan ratusan yang lain. Ketika khutbah terakhirnya itu, al-Hakim sempat menghimbau kembali segala tindakan kejam regim Baath saat mereka berkuasa, termasuklah membunuh para pemimpin SCIRI serta Ikhwanul Muslimin sebelum itu.

Walhal, semenjak runtuhnya regim Saddam, SCIRI sudah awal-awal lagi menolak pembentukan negara teokrasi sepertimana konsep Wilayat ul-Faqeh yang diamalkan di Republik Islam Iran. Dengan memahami aneka etnik yang terhimpun dalam kebangsaan Iraq, al-Hakim menganjurkan sebuah pemerintahan yang demokratik yang dapat mewakili keseluruhan kelompok-kelompok besar di Iraq.

Sungguhpun begitu, kesederhanaan dan toleransi sikap al-Hakim ini masih belum cukup untuk mengurangkan kebimbangan para pendukung dari idealogi Islam yang berbeza. Semoga Tuhan merahmati sumbangan besar al-Hakim serta keluarganya terhadap masyarakat bumi Abbasiyyah tersebut. Al-Fatehah!