Mohammad Husayn Beheshti: Lambang sebuah negara
Ayatollah Dr. Seyyed Mohammad Husayn Beheshti (24 Oktober, 1928 – 28 Jun, 1981) merupakan antara ulama’ Iran yang terkemuka, dan pernah menjadi setiausaha agung Parti Republik Islam. Malah, Beheshti turut merupakan ketua yang disegani di badan kehakiman Republik Islam sewaktu awal-awal revolusi.
Beheshti dilahirkan di Lomban, dalam daerah Isfahan dari kalangan keluarga yang mempunyai tradisi agama yang kental. Di sana, Beheshti mendapat pendidikan awal secara tradisional dan mula menonjolkan bakat ilmunya. Ketika pendidikan menengah, iaitu semasa menuntut di Sekolah Sadr, juga di Isfahan, Beheshti semakin menunjukkan minat mendalam terhadap ilmu teologi.
Pada 1946, sewaktu berumur 18 tahun, Beheshti menuju ke Qom untuk mendalami beberapa ilmu seperti Sath, Kefayeh dan Makasib. Dan, dalam waktu yang sama, Allamah Tabatabaei kembali ke Qom dari Najaf al-Asyraf dan memulakan kelas falsafah di sana. Dan, ini menarik minat Beheshti untuk turut sama menyertai kelas Tabatabaei tersebut.
Beheshti kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Tehran dan memperolehi Sarjana Muda pada tahun 1951. Setelah itu beliau kembali ke Qom dan mula mengajar di Sekolah Tinggi Hakim Nezami sebagai guru bahasa Inggeris. Dan, setahun kemudian, Beheshti berkahwin dengan salah seorang kerabat keluarganya, lalu dikurniakan empat orang cahaya mata.
Pendidikannya berterusan sehinggalah pada tahun 1959, Beheshti berjaya menamatkan ijazah kedoktorannya (Ph.D), juga di Universiti Tehran, dalam bidang falsafah teologi dengan mempertahankan tesisnya The Problems of Mabad ul Tabi’e in Quran di bawah seliaan Professor Murtadha Muthahhari.
Manakala, pada tahun 1963, atas cadangan dari Ayatollah Ha’eri dan Ayatollah Milani, Beheshti dipilih untuk memimpin Pusat Islam di Hamburg, Jerman, di mana organisasi ini bertanggungjawab terhadap aktiviti agama mahasiswa dari Iran yang berada di Jerman dan Eropah Barat. Di samping itu, Pusat Islam Hamburg ini juga merupakan markaz untuk memobilasi gerakan rakyat Iran di Eropah untuk menumbangkan regim Shah.
Dalam tempoh yang sama juga, Beheshti berpeluang untuk menunaikan fardu Haji di Arab Saudi sembari juga berkunjung ke beberapa buat negara seperti Syria, Turki, Lubnan untuk menemui Imam Mousa Sadr dan di Iraq untuk menziarahi Ayatollah Ruhollah Khomeini, pemimpin gerakan rakyat Iran dalam buangan.
Malah, ketika Hamburg inilah juga Beheshti pernah dibantu oleh Mohammad Khatami, mantan Presiden Iran selama dua penggal (1997-2005) yang akrab dengan gerakan reformis. Bahkan, dari pengalaman bersama inilah Khatami dikatakan banyak terpengaruh dengan corak pemikiran Beheshti.
Semenjak 1960-an lagi, Beheshti telah terlibat dengan serius dalam kegiatan subversif yang memberi ancaman kepada kekuasaan regim Shah. Lantaran aktiviti-aktiviti seperti inilah, Beheshti telah beberapa kali ditahan oleh Agensi Polis Rahsia Iran, Sazman-i Ittila’ a-i Va Amniyat-i Keshvar (SAVAK) atas alasan memberi gugatan terhadap keselamatan negara.
Pasca revolusi, Beheshti merupakan tokoh yang mempunyai peranan yang signifikan. Selain menjadi ahli Majlis Revolusi Islam, yang mana akhirnya majlis ini diketuainya kemudian, Beheshti turut mengetuai badan kehakiman Republik Islam Iran. Bakat perundangan yang dimiliki oleh Beheshti ini dikatakan warisan daripada Haj Mir Mohammad Sadiq Modarres Khatunabadi, datuknya yang pernah menjadi rujukan fatwa dari masyarakat tempatan sebelum itu.
Di awal-awal penubuhan Parlimen Iran ketika pasca-revolusi, Bahehsti dipilih untuk memimpin Parti Republik Islam, sebagai setiausaha agung sambil dibantu oleh Ali Akhbar Hashemi Rafsanjani, Ali Khamenei serta beberapa tokoh yang lain. Malah, Beheshti pernah dicanangkan sebagai tokoh popular untuk menjadi presiden Iran yang pertama selepas revolusi.
Namun, Beheshti memilih berundur dari dicalonkan setelah Khomeini, sebagai Rahbar ketika itu kelihatan cenderung untuk meletakkan Presiden dari kalangan bukan ulama’. Ekoran itu, Parti Republik Islam telah mencadangkan nama Jalaleddin Farsi. Walau bagaimanapun, akibat dari hal yang tidak dijangka, nama Abolhassan Banisadr pula diusulkan kemudian.
Lebih mengejutkan lagi, Khomeini kemudiannya telah mengarahkan pembatalan pendaftaran Parti Republik Islam yang dipimpinnya itu, berserta parti-parti lain. Tindakan Khomeini ini dikatakan bertujuan untuk mengelakkan dampak yang ditimbulkan oleh fahaman hizbiyyah dari kewujudan parti-parti politik, termasuklah dari Parti Republik Islam sendiri.
Malangnya, belum sempat bakat kepimpinan Beheshti memuncak, akhirnya Beheshti syahid bersama-sama 72 orang yang lain ekoran suatu serangan bom pada Jun 1981. Ini berlaku sewaktunya sedang menghadiri persidangan anjuran parti. Menurut satu sumber rasmi, serangan tersebut dilakukan oleh kumpulan Sazman-i Mojahedin-i Khalq-i Iran, atau terkenal juga dengan panggilan Sazman-i Munafiqin-i Khalq-i Iran oleh para pendukung revolusi.
Setelah revolusi, Sazman-i Mojahedin-i Khalq-i Iran diketahui umum yang telah banyak melancarkan operasi pembunuhan terhadap para pemimpin dari kalangan Parti Republik Islam. Antara yang terkorban dalam serangan yang dilakukan secara berasingan ialah Javad Bahonar dan Ali Rajai yang merupakan Presiden dan Perdana Menteri Republik Islam Iran. Malah, teman baik dan guru Beheshti sekaligus Ketua Majlis Perlembagaan Republik, Murtadha Muthahhari turut terkorban.
Namun, menariknya dalam satu teori konspirasi popular ada menyatakan bahawa serangan tersebut merupakan rancangan Rafsanjani sendiri, yang di dapati telah meninggalkan persidangan tersebut lebih awal. Ironinya, teori konspirasi yang sama juga pernah menimpa Beheshti sebelum itu yang dianggap berperanan terhadap kematian tiba-tiba Mahmoud Taleghani, seorang ulama’ progesif yang dekat dengan mahasiswa.
Walau apapun susur teori konspirasi ini, syahidnya Beheshti hakikatnya telah meninggalkan sebuah nama harum yang sememangnya amat sukar dicari ganti. Malah, betapa Khomeini sendiri pernah mengangkat sumbangan Beheshti sebagai mewakili sebuah negara. Dan, di dataran Beheshti-Zahra akhirnya menjadi saksi bersemadinya jasad yang penuh berbakti ini.