Dalam lembaran sejarah, terdapat tokoh-tokoh yang mempunyai sumbangan dan peranan di sepanjang hidup mereka dengan memperjuangkan makna sebuah kebenaran. Mereka memiliki keistimewaan luar biasa hasil daripada pancaran petunjuk Ilahi kepada wajah-wajah murni mereka. Di sini, Allah swt telah mengurniakan ilmu pengetahuan, hikmah dan makrifah kepada mereka ini serta menyempurnakan tanda-tanda kekuasaan Allah swt ke atas diri mereka.
Maka, dengan itu, kedudukan mereka yang agung itu selaras pula dengan tingkah laku serta akhlak mereka yang membuktikan nilai-nilai kebenaran dan keikhlasan. Maka dengan itu, kemuliaan tokoh-tokoh seperti ini sentiasa berkekalan dengan ikatan serta pemikiran yang membawa kepada sumbangan dan perananya yang mulia dan agung di tengah-tengah masyarakat.
Ulama’ failasuf besar, Allama Thaba’thaba’e jika disorot dalam perspektif ini, telah berada di bawah naungan qudrah Allah swt di mananya telah berkelana di dalam ilmu pengetahuan Allah swt. Pencarian ilmu yang dirintis oleh Allama Thaba’thaba’e ini sungguh mendalam dan mengagumkan kita.
Semenjak asyik dengan ilmu, Allama Thaba’thaba’e sentiasa menyeru kepada kehidupan Islam yang sejati serta mencapai tahap aktiviti pengajian dan penghasilan karya-karya yang Islami. Kesemua keringat dan penat lelahnya itu adalah untuk mencapai keredhaan Allah swt serta berjuang di atas garis untuk mencapai kasih sayang para Anbiya’ Allah dan wali-waliNya. Inilah apa yang dinyatakan dari semua karya yang dinukilkannya.
Allama Thaba’thaba’e telah diputerakan pada tahun 1231 Hijriyyah di kota Tabriz, Iran dan di sanalah juga beliau mendapat didikan awalnya. Ketika usianya menjangkau 23 tahun, Allama Thaba’thaba’e berhijrah ke Najaf al-Asyraf untuk menimba ilmu pengetahuan. Di Bandar yang agung dan suci itu, Allama Thaba’thaba’e telah meraih satu tahap ilmu pengetahuan yang mendalam dan menakjubkan.
Di sini, Allama Thaba’thaba’e telah memberi tumpuan yang serius semasa pengajiannya terhadap ilmu-ilmu yang berhubung dengan hikmah, usul, tafsir dan feqah. Allama Thaba’thaba’e nekad tidak akan meninggalkan Bandar Amirul Mukminin Ali Abi Thalib itu sehinggalahnya mencapai tahap seorang Faqih.
Setelah itu, Allama Thaba’thaba’e kembali ke Bandar Qum sebagai seorang ulama’ pendidik. Di sana, Allama Thaba’thaba’e berjaya menghimpunkan beratus-ratus penuntut ilmu-ilmu Islam daripada seluruh pelusuk bumi Iran yang datang untuk mendapat tarbiyyah dan pemikiran daripadanya. Dalam waktu yang singkat sahaja, Allama Thaba’thaba’e telah menjaid terkenal sebagai seorang ulama yang agung.
Walaupun dalam waktu yang singkat itu, Allama Thaba’thaba’e telah membuktikan daya intelektualnya dan kretivitinya dalam bidang yang diceburinya itu. Hal ini dapatlah kita semak daripada betapa kukuhnya buah pemikiran yang dihidangkannya kepada kita, d mananya menukilkan kepada kita sebesar-besar tafsir Al-Qur’an al-Karim di abad ini, yang dinamakannya sebagai Al-Mizan. Kitab tafsir yang agung ini mempunyai 20 buah jilid yang dihasilkannya dengan memakan masa 20 tahun yang berturut-turut.
Al-Mizan memiliki keluasan ilmu pengetahuan Islam yang dipancarkan dari kebenaran Al-Qur’an yang sudah tentu untuk menghasilkannya memerlukan kepada khazanah ilmu dan keupayaan yang mendalam dan agung. Malah, As-Syahid Ayatollah Murtadha Muthahari menyatakan bahawa Al-Mizan merupakan sebaik-baik kitab tafsir yang dapat diketahui oleh sejarah Islam dewasa ini. Aspek-aspek yang mendalam yang terangkum dalam Al-Mizan tidak terdapat dalam tulisan dan karya yang lain.
Suatu perkara yang agak luar biasa bagi seorang ulama’ sepertinya yang terkenal dengan kepakaran dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan ialah komitmen tenaganya yang sungguh-sungguh di dalam pengajian falsafah dengan menghasilkan pelbagai karya yang menyentuh mengenai bidang ini.
Begitu juga, Allama Thaba’thaba’e bukan sahaja menghasilkan karya-karya yang mengolah mengenai bidang sosial dan politik, tetapi lebih jauh daripada itu, Allama Thaba’thaba’e melalui landasan pengolahan dan pentafsiran yang lebig luas dari maksud itu. Umpamanya, beliau telah menulis Al-Hukumah fi al-Islam yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh Hujjatul Islam Asy-Syeikh Muhammad Mahdi Al-Ashfi.
Dengan sumbangan besar ini, Allama Thaba’thaba’e meninggalkan kesan yang ketara dan berpengaruh di kalangan ummat Islam, di dalam mendorong kesedaran politik yang dicorak oleh agama, terutamanya di kalangan mahasiswa universiti di ketika beliau di Iraq. Dari titik tolak sumbangan beliau ini, ia telah memberi kesan positif dan berterusan kepada para pengikut dan penuntutnya yang telah berusaha mengikuti jejak langkahnya yang benar itu.
Di samping itu, para ilmuan dan cendikiawan pun turut terpengaruh dengan aliran pemikirannya. Allama Thaba’thaba’e bukan sahaja terkenal sebagai perintis yang membuka lembarna pemikiran Islam, tetapi Allama Thaba’thaba’e juga dikenali di kalangan golongan bukan Islam yang mengambil berat tentang ilmu-ilmu keIslaman.
Sebagai contohnhya, Henry Corbin, seorang orientalis yang dekat dengan tradisi Persia, telah memetik sebahagian daripada pandangannya yang berhubung dengan sejarah dan falsafah Islam. Karya-karya Allama Thaba’thaba’e juga pernah tersiar di dalam majalah-majalah dan buku-buku yang tersohor.
Selain daripada itu, keistimewaan ulama’ faqih ini juga dapat di lihat dari perspektif betapa tingginya nilai ketaqwaannya dan pergaulannya. Malah, Muthahhari yang pernah terdidik di bawah asuhannya pernah berkata, “aku menuntut dengannya selama sepuluh tahun, dan aku tidak mendapatinya melakukan walau suatu perkara pun yang makruh di sisi hukum syariat.
Jadi, perbahasan akhlak yang dikemukakan dengan banyaknya oleh Allama Thaba’thaba’e di dalam tafsir Al-Mizan itu akan sempurna termanifestasi dalam pelaksanaan akhlaknya yang amali. Semua orang yang pernah membaca pemikirannya yang menekankan aspek akhlak serta mengenali akhlaknya nescaya mereka kan mendapati jalan hidup yang dilaluinya selari dengan apa yang ditulisnya.
Realitnya, apa yang ditekankan oleh Allama Thaba’thaba’e terjelma pula secara nyata berhubung dengan hakikat ini. Sepertimana yang dimaklumi, Allama Thaba’thaba’e merupakan jaluran akhlak dari bapanya yang mendidik serta mendorongnya untuk bergelumang dengan ilmu pengetahuan Islam.
Keistimewaan sang faqih ini, yang dengan jiwanya yang lembut dan mulia itu, dapat disaksikan dengan pelbagai tauladan di sepanjang garisan kehidupannya. Ini termasuklah tangisannya yang mengharukan apabila menerima khabar kesyahidan penuntutnya, yang sekaligus di anggap sebagai sahabatnya, Muthahhari, di tangan golangan munafiqin khalq.
Selain itu, Allama Thaba’thaba’e turut memberi penentangan yang terus-menerus terhadap regim Shah dan beliau sendiri berdepan dengan serangan Savak di Madrasah Faiziyyah, Qum yang menyebabkan gugur syahidnya penuntut-penuntutnya yang mulia. Peristiwa ini telah mencetuskan titik yang sungguh luhur di dalam sejarah hidupnya dan mensyahdukan mereka yang terlibat dengan kegiatan ilmu pengetahuan.
Demikian juga pendirian failasuf Islam yang agung ini terhadap kebangkitan Islam yang diterajui oleh Al-Imam Ruhollah Al-Khomeini. Pendiriannya dapat diperhatikan secara konsisten semenjak 20 tahun lagi sebelum kemuncak kebangkitan tersebut pada tahun1979. Allama Thaba’thaba’e telah mendukung perjuangan Ruhollah Khomeni ini berdasarkan kepada dalil revolusioner serta kesungguhannya untuk mendaulatkan agama dan syariat.
Selanjutnya, Thaba’thaba’e berkesempatan dalam hayatnya untuk sama-sama menyalurkan sumbangan yang signifikan ke arah tertegaknya Republik Islam di Iran. Akhirnya, kita juga harus akui bahawa pemimpin revolusi Islam, Ruhollah Khomeini sendiri turut terdidik, terasuh dan terbina di bawah naungan insan yang agung ini, dengan izin Allah swt.
Dan, setelah sempat menikmati kemenangan Revolusi Islam, pada tanggal 15 November 1981, ulama’ failasuf yang zuhud ini telah kembali menyahut penggilan Ilahi ketika berusia 80 tahun. Moga-moga, segala jasa baktinya bukan sahaja diberkati oleh Penciptanya, malah ia dapat manfaati oleh ummat manusia setelahnya.